Friday 13 September 2013

Fakta Geografi

.::Assalamualaikum::.

Nak tahu tak??

Iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak berhampiran khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung, meskipun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.
Malaysia terletak di Hemisfera Utara, iaitu bahagian utara dari Garisan Khatulistiwa. Ia terdiri daripada 2 kawasan utama yang dipisahkan oleh Laut China Selatan (531.1 kilometer persegi). Kedua-dua kawasan berbentuk muka bumi yang hampir sama, iaitu pinggir laut yang landai, hutan tebal dan bukit bukau. Iklimnya ialah khatulistiwa tetapi bagi sesetengah tempat di Malaysia, terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan utara Sabah mengalami iklim monsun tropika.
Semenanjung Malaysia, meliputi seluas 131,598km² bersempadan dengan Negara Thai di utara dan Singapura di selatan manakala Sabah yang seluas 73,711km² dan Sarawak yang seluas 124,449km² bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.
Malaysia terbahagi kepada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Negeri yang terbesar merupakan Sarawak ,melebihi 124,000km². Pahang yang mempunyai keluasan 35,965 km² merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia manakala Perlis yang seluas 795 kilometer persegi adalah negeri yang terkecil.
Negeri Sabah dan Sarawak terletak di pulau Borneo. Negeri Sabah terdiri daripada lima bahagian, iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat, dan Pedalaman. Wilayah Persekutuan Labuan, dengan keluasan 91km² adalah terletak di persisiran pantai barat Sabah. Sarawak terdiri daripada Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Kapit, Bintulu dan Kota Samarahan.
Malaysia berhampiran dengan khatulistiwa antara garisan lintang 1 dan 7 Utara dan garisan bujur 100 dan 119 Timur dan tertakluk kepada pengaruh laut dan perubahan sistem angin yang bertiup dari Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Lazimnya iklim di sini terbahagi kepada musim monsun barat daya dan monsun timur laut. Purata suhu di hampir keseluruhan Malaysia ialah antara 21 C hingga 32 C. Kelembapannya dikatakan agak tinggi.
Putrajaya ialah pusat pemerintahan yang baru kerajaan persekutuan yang dibina untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. Pejabat Perdana Menteri telah berpindah ke Putrajaya pada 1999 dan kesemua pejabat kerajaan pusat dijangka di Putrajaya pada 2005. Hanya beberapa pejabat kerajaan akan dikekalkan di Kuala Lumpur, selain Parlimen. Bandar raya lain termasuk Ipoh, George Town, Johor Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment